Thursday, 26 February 2015

NUZUL QURAN


Hari Nuzul Quran merupakan hari ke 17 dalam bulan Ramadan sempena hari penurunan al-Quran. Sememangnya sudah menjadi tradisi bagi kita umat islam pada setiap tanggal 17 Ramadan kita akan mengadakan sambutan peringatan Nuzul al-Quran.

Bahkan hampir di seluruh negeri-negeri Islam, pemerintahan setempat secara rutin melaksanakan peringatan tersebut pada setiap tahun yang sering kali digabungkan dengan peristiwa perang Badar Al-Kubra (terjadi pada 17 Ramadan tahun ke-2 Hijrah, ketika umat islam pertama kali melaksanakan shaum Ramadan).

Peristiwa Nuzul al-Quran merupakan peristiwa turunnya ayat al-Quran yang pertama kepada Nabi Muhammad s.a.w hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada hari ini. Peristiwa tersebut berlaku pada malam Jumaat,17 Ramadan tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad s.a.w ketika baginda sedang beribadat di Gua Hira' bersamaan dengan tanggal 6 Ogos 610M.

Perkataan 'NUZUL' bererti turun atau berpindah dan atas ke bawah. Bila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi Muhammad s.a.w maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.

'Al-Quran' bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah al-Quran sering dicantumkan dengan rangkai kata 'al-Quran mukjizat akhir zaman' atau 'al-Quran yang mempunyai mukjizat'. Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau ditinggalkan di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat dalam kitab suci al-Quran.

No comments:

Post a Comment